Rabu, 22 Disember 2010

Siapa kita?

Manusia adalah makhluk Allah yang terbina daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Susuk badan kita dengan segala kandungan di dalamnya adalah jasmani. Rohani ialah naluri, iaitu sesuatu yang bukan benda, yang menjadi penggerak. Apa yang ingin kita lakkan adalah digerak oleh naluri. Tindakbalas kita terhadap sesuatu ransangan juga adalah naluri kita. Ini termasuklah juga rasa ingin tahu. Haiwan juga Allah bekalkan dengan naluri. Haiwan menggunakan nalurinya untuk mengesan kelaparan, keinginan sex dan lain-lain.
Ini tidak bererti manusia dan haiwan sama sahaja. Masing-masing mempunyai bulu, alat-alat pancaindera, keinginan sex dan sebagainya. Tetapi adakah manusia dan haiwan adalah sama secara mutlak?
Mengikut pandangan Ernst Haeckel, seorang pengikut Darwin, memang manusia adalah sebangsa dengan haiwan kerana dilihat dari aspek fisiologi semata-mata. Paling asas sekali, manusia dan haiwan mempunyai nafsu, nafsu sex, nafsu makan, nafsu marah atau sayang. Memang banyak persamaan lain, antara manusia dengan haiwan, misalnya haiwan kelompok mamalia. Kedua-duanya berdarah panas, menyusukan anak, berbulu, mempunyai rangka dalam dan lain-lain. Dan yang paling jelas, manusia memang mempunyai sifat kebinatangan. Itu dari sudut fisiologi.
Satu perkara yang perlu kita ingin tahu ialah bahawa manusia dan haiwan sama-sama mempunyai dua naluri, iaitu naluri baik dan naluri jahat. Naluri baik seperti rasa sayang terhadap anak atau sahabat baiknya, dan rasa ingin membantu satu sama lain, tidak kira sama ada manusia ataupun haiwan. Sementara naluri jahatnya adalah seperti marah, menyerang, merosak dan lain-lain.
Tetapi sebenarnya ada perbezaan besar antara manusia dan haiwan. Aristoteles sendiri berpandangan bahawa manusia adalah haiwan yang berakal sihat.
Ibnu Sina, seorang tokoh agama dan sarjana Islam menyatakan manusia mempunyai tujuk kemampua iaitu makan, menjalani pembesaran, membiak, pengamatan yang baik, mampu bergerak mengikut dayanya, mampu mengenali hal-hal sekitaran dan daya memilih yang bebas. Tetapi haiwan hanya mempunyai lima kemampuan sahaja, ia tidak mampu mengenali dan mengendali hal-hal sekitaran dan daya memilihnya terbatas.
Ibdu Khaldun, tokoh sosiologi dan sarjana politik Islam membezakan manusia dengan haiwan dari sudut akal fikiran. Katanya dengan akalnya manusia mampu berfikir. Dengan akalnya, manusia mampu mengeluarkan pendapat, dapat membuat pertimbangan yang lebih rasional, boleh membezakan antara baik dan buruk, betul atau salah, malah manusia adalah haiwan yang mampu berpolitik, mempunyai daya rekacipta. Dan yang lebih penting lagi di sini ialah bahawa manusia mempunyai moral.
Naluri jahatnya, manusia seperti juga haiwan. Manusia hilang pertimbangan akal fikirannya, yang membawa kepada kerosakan dan kejahatan, atau yang disebut kemungkaran. Ini adalah ciri-ciri nafsu haiwan. Bezanya, kemungkaran yang dilakukan oleh manusia adalah pada tahap yang lebih tinggi berbanding haiwan.
Manusia mempunyai perasaan dengki, tidak peduli, merosakkan keamanan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Manusia juga sering lalai dan mudah terpengaruh dengan kebendaan dan material, termasuk wang ringgit, emas, bangunan dan perhiasan. Mudah meniru-niru budaya asing seperti dalam hal berpakaian, cakap dan berhiburan yang banyak membawa kerosakan diri.
Allah berfirman, 'Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh TuhanKu (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu)' (Yusuf, 53)
Siapakah anda?