Khamis, 5 Disember 2019

Assalamualaikum. Semoga kalian dalam keadaan selamat sejahtera, bahgia.
Pagi ini saya mengajak kalian merenung kembali mesej kewajipan menunaikan ibadah haji. Tujuan saya semoga kita tidak merasa tertipu oleh kekurangan ilmu tentang ibadah haji.
Kita semua tahu, menunaikan ibadah haji memang wajib, bagi orang yang mempunyai kemampuan, terutamanya wang. Ribuan kita belanjakan untuk pergi ke Makkah menunaikannya. Namun apakah kalian membawa bersama ilmu berkaitan ibadah haji. Maksud saya ibadah ini bukan sekadar untuk ditunaikan mengikut rukun dan wajibnya sahaja. 
Jika ditunaikan mengikut takrif sahaja iaitu mengikut rukun dan wajibnya, haji kalian memang sah. Persoalannya adakah ianya diterima Allah, dalam kata lain adakah haji kalian mabrur. 
Mabrur bererti diterima Allah, Allah redha dengan ibadah haji kalian. Apakah syarat utama untuk diterima Allah, lihat hadis di bawah ini.


Sebuah hadis mengingatkan agar jangan berbangga dengan solat, puasa dan zikir yang banyak kerana semua itu belum tentu membuat-kan Allah redha. Lalu apa pula yang boleh membuatkan Allah redha? Hal ini disebut dalam dialog antara Nabi Musa as dengan Allah swt.
Nabi Musa as: Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah, lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau redha?

Allah swt: Solat? Solat itu untuk dirimu sendiri kerana dengan mengerjakan solat engkau terpelihara daripada keji dan mungkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.
Nabi Musa as: Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau redha ya Allah?
Allah swt:  Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku redha kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan menggantikannya dengan ganjaran 700 kali ganda (al-Baqarah 261-262).
Ini disokong pula dengan kenyataan Imam Ghazali, Apabila kamu sibuk dengan ibadah yang lazim dan berbangga dengannya maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukannya Allah. Tetapi apabila kamu berbuat baik dan berkorban untuk orang lain maka itu tandanya kau mencintai Allah dan tentu Allah redha kerananya’ (dari Kitab Mukasyafatul Qulub.
Ibadah haji juga tidak terkecuali. Kedudukannya adalah sedemikian. Ringkasnya, ibadah haji yang mabrur adalah yang dapat menanam sikap suka menggembirakan orang lain.
Berkait dengan hadis di atas ini, ceramah-ceramah selalunya mengingatkan Jangan berbangga dengan sembahyang yang banyak. Ini tentang sembahyang, namun ibadah-ibadah yang lain juga demikian.